TEWAS: Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tewas di tangan pemain China, Chen Long dengan 21-18, 21-18 pada perlawanan akhir badminton di Riocentro Pavilion 4 Temasya Sukan Olimpik Rio 2016 malam tadi. — Gambar Bernama
RIO DE JANEIRO: Hasrat Malaysia meraih emas sulung Olimpik tidak kesampaian selepas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tewas kepada Chen Long pada aksi final perseorangan lelaki Sukan Olimpik Rio 2016, malam tadi.
Chong Wei tewas kepada lawannya dari China itu dalam dua set 18-21, 18-21.
Jumaat lalu, Chong Wei meranapkan impian Lin Dan mempertahan gelaran Olimpik terakhirnya apabila mara ke akhir selepas memenangi set penentuan penuh mendebarkan aksi separuh akhir.
Chong Wei menewaskan jaguh China itu (Lin Dan) dengan 15-21, 21-11, 22-20 dalam masa 71 minit perlawanan.
Sementara itu, Chen Long mengalahkan pemain Denmark, Viktor Axelsen dengan 21-14, 21-15 pada aksi separuh akhir.
Malaysia memungut empat perak dan satu gangsa menerusi atlet berbasikal Azizulhasni Awang.
Dua lagi perak diperolehi dalam acara badminton daripada beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan pasangan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong malam kelmarin.
Sebelum ini, acara terjun memberi pingat pertama negara iaitu perak menerusi Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama.
Ulasan