SIBU: Kegelisahan seorang perempuan berakhir empat jam kemudian selepas telefon bimbit iPhone 6 miliknya yang dilaporkan hilang ditemui semula di dalam tong sampah.
Terdahulu, pengadu, 21, jurujual di sebuah pusat beli-belah di sini bersarapan pagi bersama seorang rakan sekampung di Taman Selera pada jam 9 pagi.
Ketika membuat pembayaran di kaunter, mangsa terlupa untuk mengambil telefon bimbitnya namun apabila kembali ke meja, pengadu mendapati ia sudah hilang dipercayai dicuri individu yang tidak dikenali.
Pengadu kemudian membuat laporan polis yang kemudian pergi ke tempat kejadian bagi membuat siasatan.
Menurutnya, sistem kedudukan global (GPS) yang diaktif pada iPhone tersebut membolehkan pengadu mengesan pergerakan telefon bimbitnya yang didapati dibawa ke kawasan Jalan Maju.
“Saya cuba menghubungi nombor telefon bimbit itu tetapi tidak ada jawapan,” keluhnya.
Pengadu kemudian meminta bantuan seorang teman untuk pergi ke Jalan Maju namun telefon itu masih gagal dicari.
Mereka kemudian berpatah balik ke gerai tempat mereka bersarapan pagi itu.
Pengadu yang tidak putus-putus menghubungi nombor telefonnya tiba-tiba dipanggil seorang peniaga di situ, memberitahu terdengar bunyi nada dering telefon dan terjumpa satu bungkusan plastik mengandungi iPhone 6 itu dalam tong sampah.
Pengadu percaya individu mencuri iPhone 6 tersebut gagal membuka kata laluan memaksanya bertindak membuang telefon bimbit itu ke dalam tong sampah.
Pengadu kemudian tampil ke balai pada jam 1.15 petang untuk menarik semula laporan polis.
Ulasan