KUCHING: Sarawak merekodkan 149 kes rogol membabitkan 153 mangsa pada tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak tiga peratus atau lima kes berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar berkata, daripada kesemua kes yang dilaporkan, 113 daripadanya merupakan rogol statutori iaitu melibatkan mangsa berusia 16 tahun ke bawah.
Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati 40 peratus daripada suspek merupakan orang yang dikenali mangsa.
“Daripada kes yang dilaporkan, 59 mangsa adalah berbangsa Melayu, diikuti Iban iaitu seramai 52 orang, Bidayuh (16), Cina (14), Melanau (3), lain-lain (8) dan warga asing seorang.
“Selain itu, 40 peratus daripada suspek yang ditahan merupakan kenalan mangsa yang terdiri daripada teman lelaki dan didapati juga 35 mangsa telah mengandung semasa laporan polis dibuat,” kata Dev.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak semalam.
Tambah Dev, untuk tiga bulan pertama tahun ini, pihaknya telah menerima sebanyak 34 kes rogol yang menunjukkan penurunan sebanyak enam peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Selain itu beliau turut memberitahu sebanyak 283 kes keganasan rumah tangga yang menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus dilaporkan sepanjang tahun lepas.
“Justeru, kita amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama pihak kerajaan serta organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menangani kes tersebut,” katanya.
Difahamkan juga, sebanyak 15 kes penderaan kanak-kanak, 24 kes sumbang mahram, 61 kes cabul, dua kes liwat dilaporkan pada tahun lepas.
Sementara itu, Fatimah yang turut berucap pada majlis tersebut amat berterima kasih kepada pihak polis yang banyak membantu menyelesaikan kes berkaitan wanita dan keluarga.
“Di sini kami amat berterima kasih kepada Dev Kumar dan anggotanya (D11) yang tegas dalam menyelesaikan kes-kes membabitkan kelakuan jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak.
“Justeru diharapkan agar usaha ini berterusan dan kita sedia untuk bekerjsama serta membantu dari pelbagai sudut,” katanya.
SOURCE →
http://www.theborneopost.com/2016/04/14/sarawak-catat-149-kes-rogol-tahun-lepas/
Ulasan