Lelaki bertopeng disyaki cabul 11 murid asrama ditahan

MIRI: Polis berjaya memberkas seorang lelaki disyaki mencabul kehormatan 11 murid perempuan di sebuah asrama perempuan sekolah rendah dalam satu kejadian di Long Banyok, Baram awal pagi kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Sarawak, SAC Dev Kumar berkata, suspek berusia 26 tahun itu berasal dari kawasan sama ditangkap jam 11.05 pagi kelmarin.

Katanya, suspek berjaya ditangkap selepas dua jam bapa kepada salah seorang murid juga penolong kanan di sekolah berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Long Lama.

“Saya mengucapkan syabas kepada Ketua Balai Polis Long Lama, Sarjan Wahid Abdullah dan anggota kerana berjaya menyelesaikan kes ini hanya dalam beberapa jam sahaja,” katanya dalam kenyataan akhbar dikeluarkan lewat petang kelmarin.

Semasa tangkapan dibuat katanya, polis turut merampas sebilah gunting daripada suspek yang dipercayai digunakannya dalam kejadian tersebut.

Menurut Dev, dalam kejadia jam 2.30 pagi 7 April lalu, sekumpulan murid perempuan di sebuah sekolah di Long Banyok gempar dengan kehadiran seorang lelaki bertopeng menceroboh masuk ke asrama mereka.

Jelasnya, suspek turut bersenjatakan senjata tajam turut didakwa telah mencabul kehormatan 11 murid perempuan berusia antara 10 hingga 12 tahun, kesemuanya menghuni asrama berkenaan.

“Suspek juga didakwa telah menampar dua daripada murid terbabit dan mengugut yang lain supaya tidak menjerit sambil menunjuk senjata tajam yang dibawanya.

“Melihat keadaan murid terbabit yang tidak henti menjerit, suspek kemudian melarikan diri ke arah belakang asrama,” katanya sambil memberitahu asrama terbabit dihuni murid tahun satu hingga tahun enam.

Rentetan kejadian itu kata Dev, awal pagi kelmarin salah seorang murid menceritakan kejadian itu kepada bapanya juga penolong kanan di sekolah berkenaan yang kemudian membuat laporan polis.

Menurut Dev, suspek dipercayai memecah masuk ke dalam asrama terbabit melalui tingkap dibuka secara paksa.

“Siasatan awal polis di tempat kejadian

juga mendapati pagar belakang asrama turut dipotong dipercayai dijadikan suspek sebagai laluan alternatif masuk ke kawasan asrama berkenaan.

“Suspek kini telah ditahan lanjut untuk disoal siasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan,” ujar beliau lanjut.

SOURCE → http://www.theborneopost.com/2016/04/09/lelaki-bertopeng-disyaki-cabul-11-murid-asrama-ditahan/

Ulasan