Malaysia sambut Hari Lelaki Sedunia

LUNDU: Malaysia buat pertama kali akan menyambut Hari Lelaki Sedunia pada 19 November ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. Katanya, cadangan acara istimewa berkenaan diusul oleh beberapa pihak bagi menghargai jasa dan pengorbanan kaum lelaki sama seperti sambutan Hari Wanita yang diadakan selama ini.

"Selain itu, kementerian turut bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan rumah perlindungan untuk lelaki sebagai pusat tinggal sementara atau kaunseling suami yang berdepan dengan krisis rumah tangga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran serentak Program Kembara@KPWKM dan Kembara Kebajikan 1Malaysia di Kompleks Sukan Lundu semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem. Mengenai Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam), Rohani menjelaskan seramai 170,000 orang berjaya dikeluarkan daripada masalah hidup kemiskinan menerusi program sosioekonomi yang dilaksanakan. Tambahnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 70 peratus daripada jumlah itu adalah wanita. "Mereka terbabit masih terus dibantu untuk mengembangkan perniagaan mereka," ujarnya.

Rohani turut menyatakan bahawa 500,000 rakyat negara ini yang kurang berkemampuan menerima bantuan kebajikan masyarakat membabitkan perbelanjaan RM1.5 bilion setahun. Rohani memberitahu jumlah itu adalah sumbangan Kerajaan Pusat sementara Kerajaan Negeri turut memberi peruntukan sumbangan yang berasingan. Rohani berkata Program Kembara Kebajikan 1 Malaysia akan disertai 80 peserta terdiri daripada kakitangan jabatan serta agensi kerajaan, swasta dan sukarelawan.

"Program ini akan menjadi acara tahunan kementerian yang melibatkan komuniti dari seluruh negara dengan pengisian program berunsurkan kemasyarakatan," jelasnya.

Kata Rohani, kembara berkenaan bermula dari Lundu dan menjelajah ke Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri seterusnya menuju ke Labuan, Sepanggar dan Beafort di Sabah. Seterusnya, Rohani berkata kembara itu akan kembali ke Kuala Lumpur bagi meneruskan jelajah ke semua negeri di Semenanjung dan akan berakhir di Bagan Datoh, Perak.

"Jelajah ini yang akan berakhir di Bagan Datoh dijadualkan berakhir pada 9 April nanti," katanya. Rohani menyifatkan sepanjang program itu nanti, ia akan melibatkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sebagai keperluan sokongan sosial semasa khususnya di luar bandar seperti mengadakan aktiviti melawat OKU dan melakukan gotong-royong di rumah individu terpilih.

Source COPYRIGHT→ http://www.utusansarawakonline.com/news/32910/Malaysia-sambut-Hari-Lelaki-Sedunia/

Ulasan