BINTULU: Presiden Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) merangkap isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Taman Permainan Kanak-kanak di Hospital Bintulu petang kelmarin.
Ia merupakan taman permainan kanak-kanak baharu dibaik pulih di hospital berkenaan dengan harapan memberi manfaat kepada kanak-kanak.
Mengulas mengenainya, Jamilah berkata, kanak-kanak perlu didedah aktiviti sihat terutama aktiviti di luar rumah atau luar kelas supaya dapat menikmati udara segar, keindahan alam semula jadi, bersenam serta dapat membuat aktiviti riadah bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.
“Kanak-kanak perlu dibimbing membentuk gaya hidup sihat,” katanya sambil menambah aktiviti riadah mampu menangani masalah obesiti kanak-kanak sekali gus memupuk minat terhadap aktiviti luar termasuk menghargai alam sekitar.
Beliau berkata, melalui aktiviti seumpamanya kemungkinan memberi semangat kepada pesakit kanak-kanak di wad hospital untuk cepat pulih dan sihat.
“Saya menggesa agar semua peralatan di taman ini dijaga dan diselenggara dengan sebaiknya serta bersih,” katanya.
Dalam pada itu katanya, tujuan SABATI menjalankan aktiviti dan kerja amal seumpamanya untuk membantu golongan kurang upaya termasuk yang memerlukan.
Justeru katanya, usaha dilakukan dengan menyumbang bantuan kepada institusi-institusi kebajikan dan hospital seluruh negeri Sarawak dalam bentuk peralatan dan wang tunai mengikut keperluan harian.
Turut hadir mengiringi beliau pada majlis itu Setiausaha Kehormat, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud; Ahli Exco SABATI, Datuk Fatimah Mohamad Iskandar serta ahli-ahli Exco SABATI; Pengarah Hospital Bintulu, Dr Davis Johnraj; Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Bintulu, Datuk Pau Chiong Ung dan Ketua Pediatrik Hospital Bintulu, Dr Anand Mohan.
Sumber → http://www.theborneopost.com/2016/03/05/bimbing-kanak-kanak-bentuk-gaya-hidup-sihat-kata-jamilah/
Ulasan