BINTULU: Polis Bintulu sedang berusaha mengenal pasti rakan suspek pertama termasuk menjejaki suspek lain yang terlibat dengan kematian buruh binaan di kawasan belakang sebuah bangunan di Kemena Commercial Centre Tanjung Batu pagi Rabu lalu.
Kejadian itu berlaku rentetan insiden pergaduhan antara mangsa dan kumpulan terbabit di pusat hiburan berdekatan sebelum mayat mangsa ditemui orang awam.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zailanni Amit berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti dua lagi suspek.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu dan akan dibedah siasat,” katanya semasa diminta mengulas mengenai perkembangan kes terbabit.
Dalam kejadian pagi Rabu tersebut, seorang lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah sekitar jam 2.50 pagi di belakang bangunan di Kemena Commercial Centre Tanjung Batu.
Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa maut terlibat dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan sebelum melarikan diri ke belakang sebuah bangunan sebelum dipukul objek keras (batu) oleh sekumpulan lima lelaki berkenaan.
Mangsa mengalami kecederaan luka di kepala sebelah kanan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, pada jam 5 pagi hari sama, di sebuah bilik sewa rumah kedai di Kemena Commercial Centre Tanjung Batu, sepasukan anggota polis telah menangkap seorang lelaki berumur 29 tahun yang merupakan suspek pertama untuk membantu siasatan kes tersebut.
Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada rampasan seketul batu dipercayai digunakan dalam kejadian yang dibuang ke dalam tong sampah di belakang kedai kawasan terbabit.
Pihak polis telah membuat permohonan reman ke atas suspek terbabit.
Sumber → http://www.theborneopost.com/2016/02/27/polis-buru-rakan-suspek-kes-bunuh-buruh-binaan/
Ulasan