OPS NODA: 32 wanita warga asing dicekup

BINTULU: Polis di bahagian ini telah menahan 32 orang wanita warganegara asing dalam satu serbuan dikenali sebagai Ops Noda di salah sebuah pusat urut di Jalan Abang Galau di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zailanni Amit, dalam serbuan itu rata-rata pekerja di pusat urut warganegara Vietnam dan Filipina dan kesemua mereka telah disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen.

“Serbuan dilakukan ke atas premis urut berkenaan turut menahan seorang lelaki warga "Bangladesh" berumur 35 tahun kerana memberi rasuah sebanyak RM200 kepada anggota polis dan lelaki ini disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan cuba memberi suapan,” katanya.

Beliau menambah, dalam serbuan yang sama polis turut menahan 19 lelaki tempatan dipercayai mendapatkan khidmat urut di pusat berkenaan namun dibebas selepas diambil keterangan.

Zailanni menambah, enam daripada wanita pekerja pusat urut itu dibebaskan kerana mempunyai pasport dan permit kerja yang sah.

Zailanni berkata pihaknya dengan bantuan pihak berwajib lain akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan tidak sihat di bahagian ini khususnya berkaitan maksiat dan judi.

“Saya berharap agar orang ramai memberi kerjasama dengan menyalur maklumat berhubung sebarang kegiatan tidak sihat berlaku di sini dalam memastikan Bintulu bandar selesa dan selamat untuk didiami,” ujarnya.

Sumber→ http://www.theborneopost.com/2016/02/27/ops-noda-32-wanita-warga-asing-dicekup/

Ulasan