Kasti Tihi, Dayangku Nuraysyah dinobat johan tilawah al-Quran peringkat Bintulu

BINTULU: Kasti Tihi dan Dayangku Nuraysyah Awang Jidel masing-masingnya dinobat johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu berlangsung di Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa 1 malam kelmarin.

Kemenangan itu, membolehkan Kasti dan Dayangku Nuraysyah masing-masingnya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala pusingan, piala, sijil penyertaan, hadiah tajaan Baitulmal dan hadiah iringan lainnya.

Manakala naib johan qari dan qariah disandang oleh Abang Jasmani Abang Muzadi dan Sarina Husnan sekali gus masing-masingnya membawa pulang hadiah wang tunai RM750, piala, sijil, hadiah tajaan Baitulmal dan hadiah iringan lainnya.

Kedudukan tempat ketiga qari dan qariah pula masing-masingnya diraih Bahran Tihi dan Dayang Waffa Syafiqah Abang Jasmani dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM500, piala, sijil, hadiah tajaan Baitulmal dan hadiah iringan lainnya.

Enam pemenang hadiah sagu hati berupa wang tunai RM100, piala, sijil dan hadiah tajaan Baitulmal ialah Nur Amirul Hafizi Nordin, Abdul Mutalib Marzuki, Rahim Omar, Hamdiah Tihi, Hamni Tihi dan Zaiton Johan.

Manakala johan kategori nasyid disandang oleh kumpulan On Stage, naib johan Akhdar dan ketiga Puteri Penan Batu 10 yang masing-masingnya menerima hadiah RM1,000; RM750 dan RM300 berserta sijil, piala, hadiah tajaan Baitulmal dan hadiah iringan lainnya.

Hadiah kepada pemenang telah disampai Menteri Muda Pelancongan merangkap Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak, Datuk Talib Zulpilip.

Turut hadir Residen Bahagian Bintulu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Bintulu (JTAIB), Muhamad Yakup Kari, Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu, Ustaz Syed Harold Salleh Wan Mohamad; Temenggung Abang Suhaili Abang Mohamad; Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitenden Zailanni Amit dan Ketua Kaum Kampung Assyakirin Fasa 1, Pengiran Hamdan Pengiran Kerta.

Di majlis yang sama Talib mengumumkan peruntukan RM10,000 untuk membantu membiayai aktiviti tilawah terbabit di bawah JTAIB.

JOHAN QARI: Talib menyampaikan hadiah kepada Kasti (dua kanan) yang muncul johan tilawah al-Quran peringkat bahagian Bintulu sambil disaksikan oleh (dari kanan) Ustaz Syed Harold, Yakup, Temenggung Abang Suhaili dan Supt Zailanni.

Sumber → http://www.theborneopost.com/2016/02/27/kasti-tihi-dayangku-nuraysyah-dinobat-johan-tilawah-al-quran-peringkat-bintulu/

Ulasan