Operasi Cari Jururawat Hilang Diteruskan(Baca Sepenuhnya)

KUCHING - Pasukan mencari dan menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak hari ini menyambung semula operasi mencari seorang jururawat yang dikhuatiri lemas di Pantai Pasir Pandak, Santubong dekat sini.

Jururawat Nurul Wazieyana Mohd Yusuf, 23, yang berasal dari Johor dan bertugas di Hospital Umum Sarawak (HUS), hilang di pantai Pasir Pandak pada 12 Disember lepas dan masih belum ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pada hari kejadian tetapi dihentikan pada 24 Dis lepas, kata komander operasi Mohamad Meramit ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata Operasi Santubong yang disertai 16 anggota Pasukan Unit Pelbagai Skil (MUST Team) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, empat anggota polis, tiga pegawai Jabatan Hutan dan seorang penyelamat bebas hari ini menyasarkan kawasan darat dengan radius pencarian satu hingga dua kilometer.   

"Operasi hari ini bermula pada 10.30 pagi dan kira-kira 18 minit kemudian, pihak kami menjumpai serpihan tengkorak manusia di lokasi pencarian," katanya.    

Mohamad berkata serpihan tengkorak itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi hari ini diteruskan sehingga petang," katanya.

Dalam kejadian  6.40 petang 12 Disember lepas, jururawat itu dan lima rakannya ke pantai berkenaan bagi menghabiskan cuti hujung minggu mereka.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan berjalan bersama-sama rakan-rakannya di gigi air sebelum terjatuh dan terus dihanyut ombak deras. - Bernama

Ulasan