KES VIDEO VIRAL DI KUCHING,ANGKARA BULI? (Baca Selanjutnya)

KUCHING: Angkara buli dipercayai punca seorang bapa bersama dua rakannya menyerang bekas rakan sekerja anak tirinya di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad semalam berkata, terdahulu suspek utama iaitu bapa tiri gadis berusia 18 tahun itu pergi ke pusat beli-belah berkenaan untuk menasihati dua lelaki iaitu bekas rakan sekerja anak tirinya.

Menurut beliau, seorang daripada lelaki (mangsa) berkenaan pada 27 November lalu dipercayai bertindak menolak anak tiri suspek sehingga dia trauma dan takut untuk bekerja lalu mengadu kepada ibu bapanya.

“Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah kerana bapa kepada rakan perempuan mangsa mendakwa mangsa telah menolak anak perempuannya itu pada 27 November.

“Justeru, suspek utama bersama isteri dan anak perempuannya cuba menasihati kedua-dua mangsa agar tidak mengusik anak perempuannya lagi, namun tidak dihiraukan,” kata Roslan.

Ekoran itu, berlaku pertengkaran di antara mereka sehingga si bapa bersama dua lagi rakannya yang turut berada di tempat kejadian bertindak membelasah kedua-dua mangsa.

Insiden tersebut bagaimanapun berjaya dileraikan oleh anggota pengawal keselamatan pasar raya berkenaan yang kemudian turut menghubungi pihak polis untuk bantuan.

“Mangsa dan kesemua suspek kemudian dihantar dengan kenderaan polis ke balai polis Jalan Simpang Tiga untuk membuat laporan.

“Manakala kedua-dua mangsa yang berusia 19 tahun yang turut mengalami kecederaan lebam di muka dan tangan kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan,” jelas Roslan.

Menurut Roslan juga, pihaknya telah menahan suspek utama, 45, bersama isterinya, 50, dan anak perempuan mereka, 18, serta dua lagi rakan suspek masing-masing berusia 43 dan 46 tahun untuk siasatan lanjut.

Sementara itu di SIBU, suspek utama, isteri dan anak perempuan mereka ditahan di Rejang Park sekitar jam 9 malam kelmarin dan direman empat hari di Mahkamah Sibu pagi semalam selepas dipercayai terlibat dalam kes serang itu.

Insiden tersebut yang dirakam orang awam viral sejak petang Ahad lalu dengan dua klip video menunjukkan bagaimana kedua-dua mangsa ditampar, dipukul dan disepak oleh tiga lelaki terbabit.

Kedua-dua klip video tersebut turut mengundang beratus-ratus komen netizen terutama daripada Facebook.

Paling mengaibkan, kedua-dua mangsa diarah berlutut di depan seorang gadis dipercayai anak tiri kepada suspek utama yang berasal dari Sibu.

Difahamkan, dua suspek lelaki dipercayai turut terlibat memukul mangsa berjaya ditangkap di Kuching tengah hari kelmarin.

Suspek utama, isteri dan anak perempuannya dijangka akan dieskot pasukan polis ke Kuching untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Dalam perkembangan sama, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Seri Muhammad Sabtu Osman semasa ditemui pemberita memberitahu kes tersebut adalah kes terpencil dan dipercayai tidak berkaitan dengan gengsterisme.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci ke atas latar belakang kesemua suspek untuk memastikan sama ada mereka mempunyai rekod jenayah lampau atau tidak.

“Saya juga telah mengarahkan anggota saya untuk berjumpa dengan pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan untuk mengetahui punca kenapa anggota keselamatan mereka lambat bertindak meleraikan insiden tersebut.

“Selain itu, saya mohon kepada orang ramai agar jangan mengambil tindakan sendiri kerana kita masih ada undang-undang yang perlu dipatuhi dan dihormati,” kata Sabtu.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam tanpa senjata.

Sumber→ http://www.theborneopost.com/2015/12/02/angkara-buli/

Ulasan