BINTULU: Bintulu News telah membantu seramai 15 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim (PERYATIM) Jepak Bintulu bagi membuat persiapan pakaian seragam sempena sesi persekolahan 2016. Jurucakap program, Francis Ngu Hown Hua berkata, Bintulu News berusaha mendapatkan dana daripada pelbagai pihak yang turut ingin membantu menerusi program ’Back To School’. "Kami bersyukur dapat sumbangan daripada penderma budiman yang bersimpati membantu anak-anak yatim ini membuat persiapan persekolahan.
"Kita sedaya upaya membantu golongan memerlukan bagi meringankan beban dihadapi selaras slogan Negara Berkebajikan," katanya. Francis berkata, sumbangan berkenaan juga medium memberi dorongan kepada anakanak yang diberi bantuan untuk lebih tekun belajar. Selain itu, ia juga membuktikan sokongan dan keprihatinan Bintulu News dalam memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.
"Kita bukan sekadar beri pakaian dan barang kelengkapan persekolahan, sebaliknya sumbangan ini turut menterjemahkan kasih sayang kita kepada anak yatim,” katanya. Sempena program tersebut, sebanyak 15 anak yatim terbabit dibawa memilih pakaian sekolah sendiri sebagai persiapan untuk menempuh alam persekolahan baharu tahun depan.
"Kita bersama anak-anak ini pilih dan beli pakaian seragam bersesuaian supaya mereka dapat rasa sendiri pengalaman rakan-rakan lain yang saban tahun ditemani ibu atau ayah membeli barang keperluan sekolah,” katanya. Secara tidak langsung sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban pertubuhan terbabit sekali gus menceriakan 15 kanak-kanak terbabit.
"Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban pertubuhan PERYATIM dalam membuat persediaan awal anak-anak yatim ini mengikuti sesi persekolahan akan datang serta memberi motivasi kepada murid itu,” katanya. Tambahnya, bagi sesiapa yang berminat untuk menderma atau memberi sumbangan kepada PERYATIM Bintulu ini hendaklah menghubungi terus Pengurusnya, Hafiza Awang Moslim ditalian (013-8485598).
http://www.utusansarawakonline.com/news/31000/15-anak-yatim-terima-sumbangan-Bintulu-News/
Ulasan